JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM8.4 juta bagi membaik pulih dua buah asrama penuntut Johor di Kaherah, Mesir.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, usaha membaik pulih asrama itu akan memberikan suasana lebih kondusif kepada 250 penuntut terlibat kerana sebelum ini mereka terpaksa menginap di rumah sewa.
“Bangunan asrama di Rabaah bakal menempatkan seramai 154 pelajar, manakala asrama tiga tingkat di Hayyu Thamin boleh dimanfaatkan oleh 96 penuntut. Asrama di Hayyu Thamin itu dilengkapi dengan sebuah rumah pegawai dan tetamu, dewan, surau serta ruangan santai di bahagian atas bumbung.
“Kemudahan itu diharap digunakan sebaiknya dan dapat memberi keselesaan serta perlindungan kepada penuntut Johor yang berada di negara berkenaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bangunan Asrama Pelajar Johor pasca baik pulih di Kaherah, Mesir.
Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr. Nooh Gadut.
Mohd. Fared berharap para penuntut dapat menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin dengan belajar secara tekun dan menggunakan kemudahan itu dengan baik, sekali gus dapat kembali dan berbakti semula di negeri Johor.
“Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas peruntukan yang diberikan. Keadaan di asrama ini kita ambil kira kemudahan yang maksimum sebagai kediaman penuntut dan tempat belajar dan beraktiviti.
“Kerajaan negeri sudah tunaikan tanggungjawab menyediakan penempatan yang selesa dan baik, jadi kembalilah berbakti kepada ummah dengan ilmu agama dan perubatan yang menyatukan rakyat Johor,” katanya. – UTUSAN