Remaja mengaku salah cabul kenalan - Utusan Malaysia

Remaja mengaku salah cabul kenalan

SEORANG remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini, atas pertuduhan mencabul kenalannya yang berusia 15 tahun dalam kejadian pada bulan Oktober lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kenalannya berusia 15 tahun dalam kejadian pada bulan Oktober lalu.

Juvana lelaki berusia 16 tahun itu membuat pengakuan berkenaan dalam perbicaraan yang dilakukan secara tertutup selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, pada 25 Oktober lalu, kira-kira pukul 11 malam di sebuah rumah di taman perumahan daerah ini, dia telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak yang berusia 15 tahun.

Bagi kesalahan itu juvana yang juga pekerja kedai makan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala juvana terbabit tidak diwakili peguam.

Farahidah mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan juvana tersebut tidak dibenarkan mendekati mangsa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM1,000 mengambil kira penjamin adalah ibu tunggal dan tiada pendapatan tetap.

Manakala, tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Februari bagi laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Difahamkan, kejadian cabul berkenaan berlaku di rumah sewa juvana lelaki iaitu di kawasan taman perumahan di Bahau. 

Mangsa yang masih bersekolah menumpang tidur di rumah juvana berkenaan selepas lari dari rumah di Sungai Besi, Kuala Lumpur. 

Kejadian cabul berlaku semasa mangsa sedang tidur dan kejadian berkenaan adalah kejadian pertama kali berlaku ke atas mangsa.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya