KUALA LUMPUR: “Itu bukan rantai salib. Itu adalah cangkuk kepada pendant rantai yang tersimpul sehingga mengelirukan.”
Itu jawapan pelakon baharu, Haidar Hasanudin yang menerima kecaman gara-gara dikatakan memakai rantai berbentuk salib dalam sebuah hantaran video di TikTok baru-baru ini.
Haidar menjelaskan, rantai yang tersimpul itu telah mengelirukan ramai pihak sehingga segelintir netizen mengecam dan melabelnya dengan gelaran yang kurang manis.
“Sekali lagi, saya tegaskan di sini itu bukanlah rantai salib. Sebagai seorang yang beragama Islam saya tidak pernah terfikir langsung mahu mengenakan rantai berlambang salib,” katanya.
Maklum dengan keprihatinan segelintir warganet, pelakon drama bersiri popular Kampung People 3 itu memohon maaf atas perkara itu dan lebih berhati-hati selepas ini.
“Saya memohon maaf atas segala kekeliruan dan saya berharap penjelasan yang saya berikan dapat menjernihkan keadaan.
“Saya mengaku kekhilafan saya yang mungkin terlepas pandang dan saya sangat sesali perkara ini dan menjadikan ia sebagai pengajaran di masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video temu bual yang memaparkan Haidar mengenakan pakaian serba hitam ke sebuah anugerah.
Namun, apa yang menjadi perhatian adalah netizen mendakwa rantai yang dipakai Haidar adalah berbentuk salib. – UTUSAN