Ranking perlu untuk pasarkan universiti - UMK

Ranking perlu untuk pasarkan universiti – UMK

RAZLI Che Razak (dua dari kiri) bertukar MoU bersama Prof. Madya Dr. Tasana Sirichote (dua dari kanan) pada Sambutan UMK International Day di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pencapaian ranking dunia merupakan salah satu aspek penting dalam usaha untuk memasarkan sesebuah institusi pengajian tinggi ke peringkat antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Razli Che Razak berkata, meskipun dikatakan kecemerlangan sesebuah universiti tidak bergantung semata-mata kepada ranking, namun tidak dapat disangkal bahawa ia merupakan antara aspek penting dalam sudut pemasaran.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya ketika membuat pemasaran di luar negara, ranking sesebuah universiti akan menjadi persoalan pertama yang dititikberatkan.

“Semasa saya ke Jepun dua minggu lepas, soalan pertama ditanya kepada saya adalah berapakah ranking UMK. Bermakna mereka mahu bersahabat dengan universiti yang sudah tersenarai dalam ranking dunia.

“Ranking dunia ini sangat penting dalam sudut pemasaran kerana kita memerlukan penjenamaan yang kuat. Alhamdulillah, UMK kini tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Sustainability Ranking 2024 pada kedudukan 821 hingga 840 dari seluruh universiti di dunia” katanya kepada pemberita selepas sambutan UMK International Day yang turut dihadiri Presiden Universiti Songkhla Rajabhat. Thailand, Prof. Madya Dr. Tasana Sirichote di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Razli bagaimanapun memberitahu, UMK tetap berpegang bahawa prinsip kecemerlangan universiti tidak bergantung kepada ranking kerana paling utama bagi pihaknya adalah aspek kemenjadian pelajar.

Katanya, sebagai sebuah universiti muda yang baru berusia 17 tahun dan melalui konvokesyen ke-13, UMK mahu melihat pelajar-pelajarnya berjaya dalam bidang pilihan mereka dan membina kerjaya masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tetap berusaha untuk menaikkan ranking UMK. Daripada segi prestasi, memang kita sentiasa memastikan dokumen lengkap dihantar kepada badan-badan penarafan ranking seperti QS World University Rankings dan The Higher Education (THE) University Rankings.

“Kita juga sentiasa melihat kriteria-kriteria yang diperlukan dalam penarafan tersebut, tetapi saya tegaskan ia bukan sasaran utama universiti tetapi tetap penting untuk penjenamaan dan pemasaran,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Razli berkata, UMK kini dalam usaha untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan negara-negara luar untuk memasarkan universiti tersebut sekali gus meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa terutama di peringkat pengajian doktor falsafah.

“Hari ini kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Songkhla Rajabhat dan sebenarnya kita mempunyai banyak MoU dengan universiti-universiti di Wilayah Selatan Thailand.

“Sasaran utama kita adalah memperbanyakkan bilangan pelajar antarabangsa dari Wilayah Selatan Thailand dan Indonesia. Sasaran kita adalah mendapatkan 1,000 pelajar antarabangsa pada tahun depan,” ujarnya.

Berdasarkan rekod, UMK mempunyai seramai 374 pelajar antarabangsa dari 19 negara daripada keseluruhan 13,496 pelajar dengan peratusan yang masih dianggap sedikit.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya