SEREMBAN: Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman, 42, berharap agar perjalanan buat dirinya pada tahun hadapan akan lebih baik berbanding tahun ini.
Dia dengan nama sebenarnya, Azman Syah Alias bagaimanapun tetap reda dengan pendakwaan mahkamah melibatkan pertuduhan seksual yang dihadapinya ketika ini.
“Doakan terbaik untuk keputusan, harapan saya semoga tahun depan lebih baik. Saya bersyukur dengan apa yang telah berlaku,” katanya ketika ditemui pemberota selepas prosiding perbicaraan kes amang seksual melibatkan dirinya di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.
Dalam pada itu, peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad berkata, kes di Klang, Selangor pada hujung bulan ini adalah di peringkat keputusan pendakwaan dan pihaknya berharap yang terbaik buat anak guamnya itu.
“Kalau kes tiada prima facie, insya-Allah akan dibebaskan. Kalau ada, Cik Man (PU Azman) akan dipanggil untuk bela diri. Saya minta peminat dan penyokong Cik Man doakan terbaik untuk dia, ini semua Allah punya kuasa,” katanya lagi.
Pada 12 Oktober 2022, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada bulan Februari dan Julai tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.
Selain itu, dia turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.-UTUSAN.