Projek baharu di The Greater JB perlu ambil kira kadar hujan 100 mm - Jafni - Utusan Malaysia

Projek baharu di The Greater JB perlu ambil kira kadar hujan 100 mm – Jafni

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (dua dari kanan) mengadakan sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara MBJB, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Projek pembangunan hartanah baharu di sekitar kawasan ‘The Greater Johor Bahru’ (JB) perlu mengambil kira kadar taburan hujan yang mencecah 100 milimeter (mm).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu diambil dalam memastikan kejadian banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan dapat dielakkan menjadi lebih buruk memandangkan taburan hujan abnormal, iaitu pada tahap 60 mm berbanding kebiasaan antara 10 mm hingga 20 mm.

“Sehubungan itu, pelbagai kaedah penyelesaian telah dirangka bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan ‘The Greater JB’, iaitu melibatkan kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

“Antaranya, kita putuskan projek pembangunan akan datang, asas projek dibina pada 100 mm taburan hujan. Ini bermakna pembinaan parit dan saliran air keluar perlu sesuai dengan intensiti 100 mm, empat kali ganda berbanding kadar sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara MBJB, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.

Mohd. Jafni berkata, langkah itu bagi membolehkan hujan dengan kadar taburan lebih tinggi mengalir keluar dari sesuatu kawasan dengan lebih mudah, sekali gus mengelakkan berlakunya banjir kilat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, banjir kilat yang menjejaskan 38 lokasi di sekitar bandar raya ini petang semalam disebabkan taburan hujan luar biasa yang bertembung dengan air pasang penuh.

“Taburan hujan dengan kadar  60 mm itu adalah tiga kali ganda daripada kuantiti biasa. Jadi, walaupun kesemua pam air beroperasi, ia masih tidak berupaya untuk mengeluarkan kuantiti air yang banyak secara mendadak.

“Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Ayer Molek, Jalan Kolam Air, Kampung Mohd. Amin, Jalan Yahya Awal serta Dataran Bandaraya Johor Bahru,” katanya sambil memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM66.09 juta untuk mengatasi banjir di kawasan ‘The Greater JB’ tahun depan berbanding RM55.01 juta tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya