SEREMBAN: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng di sini, awal pagi semalam berikutan kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa buah kawasan telah pun ditutup sepenuhnya hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam kenyataan memaklumkan, PPS yang sebelum ini menempatkan seramai 68 orang mangsa daripada 16 buah keluarga ditutup pukul 12 tengah hari tadi.
“Cuaca semasa juga cerah, air sungai pula di paras selamat manakala keadaan banjir di rumah mangsa telah surut sepenuhnya,” kata kenyataan tersebut.
Semalam PPS SK Sungai Machang dibuka pada pukul 1.30 pagi bagi menempatkan mangsa banjir kilat dari tiga buah kampung iaitu Kampung Chelogeh, Kampung Batu 18, dan Kampung Sungai Jai.-UTUSAN.