KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rundingan terus dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi menyelesaikan isu peruntukan melibatkan Ahli Parlimen pembangkang.
Ketua Whip Ahli Parlimen Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perundingan terus antara kedua-dua kepimpinan tertinggi itu dilihat mampu membuahkan keputusan yang lebih berkesan.
Menurutnya, perkara sama telah dibuat semasa rundingan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Soalnya kenapa (berunding) dengan Timbalan Perdana Menteri II (TPM II) (Datuk Seri Fadillah Yusof) kerana dulu semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri PM sendiri yang berunding dengan ketua pembangkang.
“Sebaiknya PM berunding terus dengan ketua pembangkang agar keputusan lebih berkesan. Bukan saya kata tidak boleh berunding dengan TPM II tetapi tidak berkeputusan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan dan Pelancaran Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (MBI) 2023-2033 yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, perundingan berkenaan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sudah diadakan beberapa kali sebelum ini.
“Saya sudah beritahu beberapa kali, kita sudah ada perundingan. Saya sendiri beberapa kali hadir bersama TPM II tetapi perundingan itu tidak berjaya,” ujarnya.
Takiyuddin bagaimanapun, berkata, barisan Ahli Parlimen pembangkang beranggapan soal peruntukan sebenarnya tidak perlu dirundingkan lagi.
“Perkara itu dengan jelas menjadi manifesto kepada kerajaan yang ada pada hari ini. Iaitu peruntukan yang sama rata antara Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang.
“Kita dah bangkitkan banyak kali dalam Parlimen. Jadi bagi saya tidak timbul isu perundingan dan sebagainya kerana ia adalah sesuatu yang sewajarnya. Sudah dimulakan dahulu dan sepatutnya diteruskan tanpa apa-apa alasan lagi,” katanya.-UTUSAN