PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang selesai memberi keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.
Beliau tiba di Balai Polis Sea Park , Petaling Jaya pada pukul 9.20 pagi dan selesai memberi keterangan kira-kira pukul 11 pagi.
Kit Siang diiringi peguamnya Khairil Khalid, anaknya Hui Ying dan beberapa pemimpin politik DAP.
“Semua berjalan lancar, ini merupakan prosedur biasa memandangkan terdapat satu laporan polis berkenaan hantaran blog yang dibuat terhadap Kit Siang,” kata Khairil.
Menurut Khairil, setakat ini, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan di bawah inkuiri polis dan belum menentukan apa-apa kesalahan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan / Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap Kit Siang.
Kata Rusdi, siasatan dijalankan berhubung kandungan penulisan Kit Siang yang dimuat naik dalam blognya, limkitsiang.com pada 30 November lalu yang menyentuh isu Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia.
Penulisan yang disiasat bertajuk ‘Malaysian Constitution Provides For a Malaysian Dream And Not a Mono-Ethnic Dream As It Provides That a Non-Malay Can Be a Prime Minister’ (Perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan Perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi seorang Perdana Menteri).- UTUSAN