RANTAU PANJANG: Pilu hati seorang ibu setiap kali melihat rakaman video anaknya Nur Damia Qaisara Sabri, 11, yang bermain air banjir bersama rakan sebelum terjatuh ke dalam alur sungai dan dikhuatiri lemas dalam kejadian Kampung Petai Dusun di sini petang semalam.
Ibu kanak-kanak berkenaan Sarah Adnan, 32, berkata, menerusi rakaman itu Nur Damia dilihat begitu gembira menyanyikan lagu tinggal kenangan yang dipopularkan oleh Allayharham Sallem.
Menurutnya, nyanyian Nur Damia itu cukup menyentuh hati seolah-olah memberi isyarat dia akan pergi untuk selama-lamanya.
“Video itu sempat dirakam rakan Nur Damia yang merupakan saksi dan sempat melihat anaknya dan Siti Aisyah Mazi jatuh ke dalam sungai tersebut.
“Nur Damia nampak seronok bermain air, namun tidak menyedari bahaya mengundang ketika leka duduk di tepi jalan yang dilimpahi air deras,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sarah memberitahu, sebaik mengetahui Nur Damia jatuh sungai dia terus bergegas ke lokasi kejadian kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Katanya, semasa usaha menyelamatkan kedua-dua itu, Siti Aishah sempat ditarik oleh ibunya tetapi terlepas kerana arus di kawasan tersebut sangat deras.
“Tanpa berlenggah suami saya (Sabri) terjun untuk menyelamatkan mereka berdua. Bagaimanapun, Siti Aisyah berjaya ditemukan sementara anak saya masih hilang,” ujarnya.
Sarah berkata, tiada kelakuan pelik yang ditunjukkan oleh Nur Damia kecuali beberapa hari lalu meminta maaf kepada semua rakan sekelas melalui aplikasi whatsApp.
Utusan Online semalam melaporkan, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam alur sungai di Kampung Banggol Petai, di sini.
Dalam kejadian 6.30 petang itu mangsa yang dikenali sebagai Aisyah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.-UTUSAN