Pesta Bola Ngoca langkah rancakkan pembangunan Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Pesta Bola Ngoca langkah rancakkan pembangunan Kuala Pilah

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) turut beraksi dalam perlawanan persahabatan pada perasmian Pesta Bola Ngoca 2023 di Stadium Bola Sepak Sawah, Perkampungan Budaya Terachi, Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pertandingan bola sepak di sawah ataupun Pesta Bola Ngoca yang memasuki tahun keempat penganjuran merupakan salah satu usaha kerajaan Negeri Sembilan bagi merancakkan industri pelancongan di negeri ini khususnya di daerah Kuala Pilah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia juga merupakan salah satu usaha membangunkan kawasan daerah dan luar bandar di negeri ini yang merupakan strategi pembangunan kerajaan negeri secara berterusan.

“Penganjuran acara ini telah mengangkat Kuala Pilah sebagai destinasi yang dikunjungi setiap tahun sekali gus merancakkan pembangunan di Kuala Pilah seperti pembangunan kedai-kedai perniagaan serta Kampung Budaya Terachi dan Stadium Ngoca yang menjadi lokasi penganjuran acara.

“Saya minta untuk daerah-daerah lain untuk kreatif menganjurkan acara-acara sukan tradisi sebegini supaya ia dapat diperkenalkan kepada masyarakat luar. 

“Sukan tradisi Negeri Sembilan perlu dipandang di tahap yang lebih tinggi dan dirancakkan lagi menerusi pelbagai program pelancongan di semua daerah dalam Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bola Ngoca 2023 di Stadium Bola Sepak Sawah, Perkampungan Budaya Terachi, Seri Menanti di sini hari ini.

Pesta Bola Ngocha ini diadakan bagi memperkenal dan mengekalkan sukan tradisional masyarakat di Negeri Sembilan iaitu ‘ngocha’ ikan iaitu menangkap ikan menggunakan tangan di sawah atau bendang sementara menunggu hasil tuaian.

Turut diadakan permainan sampingan seperti gusti bantal, basikal titi, tiang licin, baling tin dan menyumpit.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, dijangkakan seramai 35,000 orang menghadiri pesta itu yang berlangsung selama dua hari dan berakhir esok.

Pada tahun ini, terdapat sebanyak 176 pasukan telah mendaftar iaitu penyertaan yang tertinggi setakat ini yang terdiri daripada 128 pasukan lelaki dan 48 pasukan wanita. 

“Saya berbesar hati kerana saya lihat penganjuran Pesta Bola Ngoca ini telah disambut dengan baik sekali oleh pasukan dari dalam dan juga luar negara. 

“Buat julung kalinya, kategori antarabangsa turut dipertandingkan apabila tiga pasukan mengambil bahagian iaitu Vietnam, Zambia dan Malaysia,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN