KOTA BHARU : Peserta kursus Jelita@Risda laris dipasaran kerja apabila modul latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran menepati citarasa pemain industri atau majikan.
Ketua Eksekutif Kolej Risda Sdn. Bhd, Datin Faizatul Akmar Hisan berkata, sijil tersebut turut membuka peluang kepada para peserta menjadi usahawan.
“Ini antara perbezaan di antara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) Amali yang mendapat sijil SKM dengan latihan jangka pendek lain.
“Sememangnya matlamat utama Jelita@Risda adalah untuk memberi kemahiran kepada peserta-peserta supaya mereka boleh bekerja di mana-mana syarikat atau menjadi usahawan dengan objektif utama adalah menjana pendapatan bagi keluarga,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Jelita@Risda SKM PPT Amali di sini hari ini.
Faizatul Akmar memberitahu, sebelum ini Jelita@Risda melaksanakan kursus-kursus jangka pendek namun ia lebih kepada meningkatkan nilai tambah kepada kemahiran peserta.
Katanya, tidak semua peserta kursus tersebut akan mendapat sijil penuh SKM kerana terdapat sebahagian kursus dijalankan secara kelayakan mikro yang tidak melayakkan mereka mendapat SKM.
“Seramai 100 peserta dari Kelantan (80 peserta) dan Negeri Sembilan (20 peserta) menjadi kumpulan pertama mendapat sijil penuh SKM daripada keseluruhan 2,300 peserta yang mengikuti 113 kursus dilaksanakan pada tahun ini,” ujarnya.
Faizatul Akmar berkata, perbezaan Jelita@Risda berbanding lain-lain kursus kemahiran jangka pendek adalah peserta turut dibekalkan dengan bantuan peralatan mengikut bidang dipilih.
“Manakala bagi peserta dari kalangan ahli isi rumah Risda, mereka juga boleh mendapatkan bantuan keusahawanan Risda melalui pakej permulaan sebanyak RM10,000 dalam bentuk bantuan peralatan.
“Untuk tahun ini kursus Jelita@Risda dilaksanakan menggunakan peruntukan keseluruhan RM15 juta melalui Risda. Insya-Allah untuk tahun depan, sekiranya ada rezeki, peruntukan akan diturunkan melalui kementerian,” ujarnya.-UTUSAN