MACHANG: Seorang pesara guru berusia 74 tahun kerugian sebanyak RM225,000 selepas diperdaya sindiket ‘love scam’ yang menyamar sebagai artis K-Pop iaitu Lee Min-ho.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati, warga emas berkenaan mengenali suspek yang menggunakan identiti bintang Korea Selatan itu pada tahun lalu menerusi Facebook.
Menurutnya, sepanjang mengenali suspek, mereka hanya berhubung melalui ‘messenger’ di dalam aplikasi media sosial tersebut.
“Pada Oktober lalu, suspek mula meminta mangsa memasukkan wang kepadanya dengan alasan dia mempunyai kes perbicaraan di mahkamah.
“Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia memerlukan jumlah wang yang banyak untuk lepas daripada kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Adli memberitahu, simpati dengan nasib artis K-Pop pujaannya itu, mangsa membuat enam pemindahan wang sebanyak RM225,000 ke dalam satu akaun dalam tempoh dua bulan sehingga bulan ini.
Katanya, selepas membuat pemindahan wang itu, wanita tersebut baru menyedari bahawa dia sudah ditipu.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini kelmarin.
“Polis sedang mengesan sindiket yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.-UTUSAN