Permintaan Daud Kilau disolatkan di Masjid Tuminah Hamidi

Permintaan Daud Kilau disolatkan di Masjid Tuminah Hamidi

ALLAHYARHAM M. DAUD KILAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Datuk M. Daud Kilau yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan semalam pada usia 85 tahun akan disolatkan di Masjid Tuminah Hamidi atau masjid terapung di pekan Bagan Datuk esok, seperti yang dihajatkan penyanyi itu.

Anak lelaki penyanyi itu, Ahmad Zailani, 52, yang mengesahkan kematian bapanya berkata, penyanyi itu meninggal dunia pada pukul 4.46 petang selepas dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu kerana bacaan gula dalam darah yang tinggi.

“Sepanjang dirawat, bacaan gula dalam darah bapa turun naik. Pada pukul 4.46 tadi doktor mengesahkan bapa saya menghembuskan nafas ter­ak­hir­nya,” katanya.

Ahmad Zailani memberitahu, jenazah bapanya dimandi dan dikafankan di Hospital Teluk Intan dan dibawa balik ke rumah di Sungai Balai Baroh di Bagan Datuk.

“Semasa hidupnya, bapa ada memberitahu dia sangat berhajat hendak menunaikan solat di Masjid Tuminah Hamidi, sebuah masjid baharu yang cantik.

“Tetapi kerana keadaan kesihatannya yang teruk sehingga menyebabkan dia hanya terlantar di atas katil, dia tidak dapat ke masjid untuk solat.

“Kami akan menunaikan hasratnya itu walaupun hanya solat jenazahnya di Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk.

“Jenazah akan dikebumikan selepas zuhur esok di tanah perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk,” katanya.

Sebelum ini penyanyi itu pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil.

Penyanyi itu mengalami masalah kesihatan sejak enam tahun lalu dan pernah menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lepas.

Walaupun mengalami ma­salah kesihatan, penyanyi yang terkenal dengan lagu popular Cek Mek Molek itu menyatakan hasrat masih mahu terus menghiburkan para peminatnya.

Namun, beliau terpaksa dilupakan hasratnya itu berikutan keadaan kesihatannya yang semakin teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya