KUANTAN: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) sudah melatih 22,398 veteran tentera program latihan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan sebagai kerjaya kedua selepas bersara.
Ketua Sektor Sokongan Latihan, Kewangan dan Pentadbiran Perhebat, Abdullah Ali berkata, program yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga akhir 2022 itu berjaya meningkatkan sosioekonomi veteran tentera terlibat.
Menurutnya, daripada 11,834 veteran yang dihubungi, seramai 8,061 veteran atau 68.1 peratus sudah pun bermajikan, bekerja sendiri dan menjadi usahawan.
“Manakala tahun ini, seramai 2,886 bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah berjaya menamatkan Latihan Peralihan (LP) bagi bulan September dan Disember ini di seluruh negara.
“Mereka yang menamatkan latihan menerima sijil Perhebat secara serentak di 10 negeri bermula 14 hingga 21 Disember ini di Kedah, Perak, Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah,” katanya selepas menyampaikan Sijil Perhebat kepada 117 peserta di Kompleks Dagangan Mahkota di sini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, program LP diwujudkan khas oleh kerajaan untuk anggota dan veteran ATM bagi melatih dan membimbing kumpulan sasar ini memperolehi kemahiran pasaran kerja.
“Pengalaman diperolehi menjadi pemangkin kepada veteran agar dapat menyesuaikan diri dengan corak kehidupan baharu, seterusnya memperoleh kerjaya kedua setelah tamat perkhidmatan,” katanya.
Jelasnya, transformasi LP berjaya menyuntik keyakinan pegawai kanan ATM berpangkat Leftenan Kolonel, Brigedier Jeneral sehingga ke Leftenan Jeneral memilih latihan itu di Perhebat sebagai persediaan persaraan mereka.
“Perhebat dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM akan terus bekerjasama erat melaksanakan Program Reskilling Upskilling Veteran (PRUV) menerusi peruntukan Belanjawan 2024,” katanya.
Menurutnya, PRUV merupakan program bimbingan dan peningkatan kemahiran serta latihan semula khas untuk veteran ATM inisiatif kerajaan melalui Perhebat.
“PRUV menyediakan empat program bimbingan iaitu bimbingan kerjaya bermajikan, latihan dan kursus jangka pendek, bimbingan teknikal, pertanian dan penternakan dan bimbingan usahawan dan peruncitan,” katanya. – UTUSAN