Penunggang motosikal terjatuh atas jalan, maut dilanggar kereta - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal terjatuh atas jalan, maut dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang penunggang motosikal yang terjatuh di atas jalan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang gagal mengelak dalam kejadian di Jalan Besar Serting Hilir, di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa, Muhammad Ikhmal Abdul Halim, 22, yang bekerja sebagai operator kilang disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipandu warga emas lelaki berusia 65 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu kereta dari arah Serting Hilir menuju ke Bandar Seri Jempol, sebaik tiba di lokasi kejadian dalam keadaan cuaca hujan renyai, secara tiba-tiba penunggang motosikal dipercayai telah terjatuh di atas jalan semasa hendak memotong kenderaan.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu kereta tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar penunggang motosikal terbabit. Akibat daripada tersebut, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ujar Chang Hook lagi, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Oleh itu, saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd. Amirul Syafiq Mohd. Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya