Penulis  'Gay is Okay! mohon pengharaman buku dirujuk Mahkamah Persekutuan - Utusan Malaysia

Penulis  ‘Gay is Okay! mohon pengharaman buku dirujuk Mahkamah Persekutuan

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penulis dan penerbit buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ memfailkan permohonan untuk merujuk 11 persoalan perundangan berhubung perintah yang  mengekalkan pengharaman buku terbabit.

Permohonan kebenaran untuk merujuk persoalan undang-undang itu difailkan sekitar Oktober lalu.

Menurut peguam Edmund Bon, antara persoalan ditimbulkan ialah sama ada Menteri Dalam Negeri (KDN) sebelum menggunakan kuasa di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk melarang suatu penerbitan, hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap hak kebebasan bercakap dan bersuara mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam itu mewakili penulis buku berkenaan, Ngeo Boon Lin dan penerbit buku, Chong Ton Sin.

Selain itu, persoalan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ialah sama ada Menteri yang menggunakan kuasanya mengikut seksyen itu berkaitan dengan sesuatu penerbitan mengenai pandangan agama, perlu mempertimbangkan nasihat pakar agama sebagai satu daripada pertimbangan relevan sebelum membuat keputusannya.

Pada 25 September lalu, Mahkamah Rayuan  membatalkan perintah  dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengembalikan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku bertajuk ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’, tiga tahun lalu.

MEMUTUSKAN

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian secara majoriti 2-1 selepas membenarkan rayuan KDN dan Kerajaan Malaysia.

Penghakiman majoriti panel terbabit antara lain menyatakan pengharaman buku tersebut oleh Menteri berkenaan adalah sejajar dengan undang-undang, rasional dan tidak melanggar keadilan.

Panel secara majoriti bersetuju wujud kemungkinan tajuk dan kandungan buku berkenaan akan memprejudiskan ketenteraman awam, nilai-nilai moral dan kepentingan awam.

Tambah penghakiman tersebut, seorang menteri akan bertindak secara munasabah dan mengeluarkan perintah larangan jika berpendapat buku itu berkemungkinan memprejudiskan ketenteraman awam meskipun tiada apa-apa yang berlaku selepas tujuh tahun berada di pasaran.

Pada 22 Februari 2022, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan perintah pengharaman tersebut atas alasan tindakan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ adalah satu tindakan tidak masuk akal.

Mahkamah dalam penghakimannya menyatakan, buku tersebut telah berada dalam pasaran lebih dari tujuh tahun dan penulisnya tidak diberikan peluang untuk untuk didengar (right to be heard) dan menjawab segala dakwaan berkaitan buku tersebut.

SEMAKAN

Ton Sin dan Boon Lin memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 17 Februari 2021 dengan menamakan Menteri KDN  serta Kerajaan Malaysia sebagai responden bagi membatalkan perintah larangan bertarikh 27 November 2020.

Pada 18 Disember 2020, KDN mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya buku “Gay is OK! A Christian Perspective” di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuat kuasa 27 November 2020.

Menurut afidavit yang difailkan, kedua-dua pemohon mendakwa pengharaman tersebut adalah sesuatu yang tidak rasional kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini yang dicetuskan oleh buku itu sejak diterbitkan lebih tujuh tahun lalu.

Selain itu, responden pertama (Menteri Dalam Negeri) juga gagal memberi sebarang alasan mengenai bagaimana buku tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin memudaratkan kemoralan awam dan mungkin memudaratkan kepentingan awam.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN