Penternak terjejas ancaman binatang buas boleh mohon bantuan baka ternakan - Utusan Malaysia

Penternak terjejas ancaman binatang buas boleh mohon bantuan baka ternakan

JALALUDDIN Alias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Para penternak di negeri ini yang terjejas berkaitan kemusnahan atau kematian ternakan akibat ancaman binatang buas boleh memohon bantuan baka ternakan yang disediakan kerajaan negeri.

Exco Kanan Kerajaan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, bantuan bagi membangunkan semula aktiviti penternakan mereka itu adalah melalui skim Double Up 2.0 melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS).

Jelas beliau, melalui skim berkenaan, penternak boleh mendapatkan baka ternakan yang berkualiti pada kadar harga 70 peratus lebih murah berbanding harga pasaran melalui kaedah geran padanan (marching grant) tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, JKVNS tidak mempunyai sebarang insentif khas berkaitan kemusnahan atau kematian ternakan yang disebabkan oleh serangan binatang liar atau binatang buas. 

“Insentif berkaitan kematian atau kemusnahan ladang ternakan hanyalah terhad kepada kemusnahan yang disebabkan oleh bencana sahaja di mana peruntukan adalah daripada kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Jalaluddin menjawab pertanyaan lisan Muhammad Sufian Maradzi (BN-Seri Menanti) berkaitan kegagalan perangkap haiwan Jabatan Perhilitan bagi menangkap hidupan liar terutama haiwan liar dan buas seperti harimau kumbang dan monyet di kawasan DUN Seri Menanti, telah menyebabkan berpuluh-puluh ekor kambing dan ternakan lain dibaham dan merosakkan harta benda serta tamanan penduduk

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, peranan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) adalah sebagai pengimbang kepada kehendak manusia yang inginkan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat serta keperluan hidupan liar untuk terus hidup dan dipulihara. 

“Bagaimanapun, kehilangan habitat, tahap kemandirian serta kadar pembiakan yang tinggi adalah antara faktor penyumbang kepada permasalahan ini.

“Aduan konflik manusia-hidupan liar yang diterima setiap tahun adalah melibatkan spesies kera, babi hutan, harimau kumbang, beruang matahari dan tapir. Punca utama konflik manusia-hidupan liar ini berlaku adalah disebabkan persaingan bagi mendapatkan makanan dan ruang untuk hidup antara manusia dan hidupan liar. 

“Namun begitu, usaha-usaha yang dijalankan ini akan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan penerimaan aduan yang diterima oleh pihak Jabatan Perhilitan. Bagi aduan yang telah selesai dengan tindakan, pihak Jabatan Perhilitan turut memantau juga keadaan di lokasi aduan dari masa ke semasa,” katanya.

Menurut beliau, antara usaha yang diambil dalam mengatasi konflik spesies hidupan liar terutamanya bagi spesies harimau kumbang dan kera yang menimbulkan konflik di Negeri Sembilan adalah terdiri daripada program bersepadu bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pemegang taruh bagu menangani konflik hidupan liar.

“Selain itu, usaha lain yang dilakukan adalah daripada segi Pematuhan Pelan Pengurusan Hidupan Liar oleh pemaju atau penggerak projek pembangunan sekitar kawasan habitat asal hidupan liar; penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Konflik Hidupan Liar Peringkat Negeri Sembilan; siasatan dan pemasangan perangkap bagi aduan gangguan serta khidmat nasihat,” ujarnya.

Menurut Jalaluddin, berdasarkan maklumat aduan dan pengurusan hidupan liar yang menimbulkan konflik dengan manusia di Negeri Sembilan yang dicatatkan dari tempoh Januari sehingga Oktober bagi tahun 2023 adalah sebanyak 401 aduan berkaitan spesies kera dengan bilangan tangkapan sebanyak 3,612 ekor.

“Sementara aduan berkaitan spesies harimau kumbang adalah sebanyak 56 dan bilangan tangkapan sebanyak 14 ekor,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya