Peniaga mengaku tak bersalah terima harta curi RM515,523.80 - Utusan Malaysia

Peniaga mengaku tak bersalah terima harta curi RM515,523.80

MOHD. FAIRUZ MD. NOR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar atas 10 pertuduhan memiliki harta curi berjumlah RM515,523.80.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima harta curi berjumlah RM515,523.80, antara November 2018 hingga Disember 2019.

Tertuduh, Mohd. Fairus Md. Nor, 36, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Fatin Dalilah Khalid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima harta curi milik Manjeet Kaur Syran Singh menerusi 10 transaksi ke dalam akaun bank miliknya berjumlah RM515,523.80.

Difahamkan, dia menerima wang tersebut hasil subahat dengan isterinya yang bekerja sebagai kerani di syarikat milik Manjeet Kaur.

Kesalahan itu dilakukan di Bank CIMB, Jalan Sulaiman di sini antara 21 November 2018 hingga 26 Disember 2019.

Dia didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi mencadangkan jaminan berjumlah RM60,000, iaitu RM6,000 bagi setiap pertuduhan.

Walau bagaimanapun, peguam bela tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan  (YBGK), Nor Hafizah Abdullah memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh menjaga ibu yang strok dan adik berstatus orang kurang upaya (OKU) dengan syarat tambahan untuk melapor diri kepada pihak polis. 

Setelah meneliti hujah kedua-dua belah pihak, Fatin Dalilah menetapkan jaminan sebanyak RM17,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan. 

Mahkamah turut menetapkan 14 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN