Penghantar makanan maut kemalangan, motosikal dirempuh - Utusan Malaysia

Penghantar makanan maut kemalangan, motosikal dirempuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah motosikal lain dari arah bertentangan dalam kemalangan di Jalan Sungai Landak, Ampangan di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. 

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang oleh mangsa sedang bergerak seorang diri dari arah Dusun Nyior menuju ke arah Ampangan. 

“Apabila tiba di lokasi kejadian, datang sebuah motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 16 tahun bersama pembonceng lelaki berusia 13 tahun dari Ampangan menuju ke Dusun Nyior telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Arifai berkata, akibat kemalangan, mangsa penunggang serta pembonceng motosikal Honda Beat mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

“Manakala mangsa penunggang motosikal Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk pengendalian bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Menurut Arifai, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd. Zaman di talian 012-7173867 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya