Penggiat seni, industri kreatif perlu semak garis panduan karya - Utusan Malaysia

Penggiat seni, industri kreatif perlu semak garis panduan karya

DR. ZULKIFLI Hasan (dua dari kanan) dan Sharifudin (kanan) pasa Majlis Pelancaran ‘Buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM’ di Pusat Kebudayaan USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua penggiat seni termasuk industri kreatif perlu sentiasa menyemak garis panduan yang digariskan Jabatan Hal Ehwal Agama dalam penghasilan sebarang karya supaya tidak mencetuskan sensitiviti keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, ini berikutan pihaknya tidak mahu hal sama berulang seperti mana berlaku dalam poster filem Sijjin yang dilihat telah menyentuh sensitiviti umat Islam, baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, Bahagian Penyelidikan di Peringkat  Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sudah pun menghasilkan penyelidikan ringkas.

“Maknanya sudah ada pasukan memantau yang melihat isu tersebut namun begitu daripada aspek filem Sijjin ini, ia dirujuk lebih kerpada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Kementerian Komunikasi.

“Namun begitu apa diharapkan, kita selepas ini adalah untuk memastikan apa-apa bahan daripada luar perlulah mendapat kelulusan dan tidak menyentuh elemen-elemen tertentu terutamanya dalam sensitiviti masyarakat,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran ‘Buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM’ di Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini.

Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts Sharifudin Md Shaarani.

Zulkifli berkata, pihaknya akan terus bertindak proaktif dalam memantau secara dekat isu berkenaan kerana baginya apa yang ‘dihidangkan’ kepada masyarakat perlulah sesuai dan membina.

“Penggiat seni dan industri kreatif juga perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam berkarya sesuai dengan konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk dan sensitiviti itu perlulah dihormati,”katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sudah mengarahkan Golden Screen Cinemas (GSC) selaku pengedar filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin untuk menarik balik dan membuat penukaran poster.

Ia berikutan poster rasmi yang dikeluarkan sebelum ini dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam apabila memaparkan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis pelancaran buku garis panduan berkenaan, Zulkifli berkata, melihat trend dan persekitaran yang ada pada hari ini, masyarakat memerlukan seni yang beraras tinggi dalam mendidik jiwa masyarakat.

“Saya justeru mencadangkan agar USIM dapat menerajui perkara ini (kesenian islam) kerana ia bersifat inklusif, rahmah dengan dibantu dengan rakan strategik,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya