PETALING JAYA: Perkembangan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin,6, akan diberitahu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain kepada media ketika ditanya mengenai perkembangan terkini operasi mencari bukti kes berkenaan yang telah memasuki hari ke-14 hari ini.
“Tiada kenyataan daripada saya, semua maklumat akan disalurkan oleh Ketua Polis Selangor,” katanya secara ringkas.
Terdahulu Mohd Shuhaily dilihat berada di kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai di sini.
Mohd Shuhaily tiba pada pukul 1.25 petang sebelum diberikan penerangan mengenai kes berkenaan oleh beberapa anggota polis dipercayai pegawai penyiasat kes.
Mohd Shuhaily kemudian dilihat memasuki Blok R apartmen berkenaan dipercayai untuk meninjau lokasi kejadian termasuk aliran anak sungai di mana mayat kanak-kanak malang itu ditemukan.
Beliau kemudian beredar kira-kira pukul 2.30 petang.
Dalam kejadian 5 Disember lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.
Hussein memaklumkan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN