Penebar roti canai warga India didakwa rasuah polis RM60 - Utusan Malaysia

Penebar roti canai warga India didakwa rasuah polis RM60

S. MARIMUTHU dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan merasuah seorang anggota polis sebanyak RM60 di Port Dickson, kelmarin.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penebar roti canai warganegara India mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan merasuah seorang anggota polis sebanyak RM60 di Port Dickson, kelmarin.

Bagaimanapun, Hakim, Datin Surita Budin menolak pengakuan bersalah S. Marimuthu, 41, selepas mendapati pengakuan bersalah tertuduh bersyarat dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberi satu suapan, iaitu wang tunai RM60 kepada seorang ejen kerajaan berpangkat koperal yang bertugas di Balai Polis Port Dickson.

Ia sebagai dorongan kepada untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya yang gagal mengemukakan lesen memandu.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam, di Batu 1, Jalan Seremban-Port Dickson,  29 November lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan tarikh 6 Disember ini sebagai sebutan semula kes.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN