Pelajar tingkatan dua SMK Mat Kilau dikhuatiri lemas di tali air - Utusan Malaysia

Pelajar tingkatan dua SMK Mat Kilau dikhuatiri lemas di tali air

PASUKAN bomba meninjau keadaan lokasi kejadian lemas membabitkan remaja 14 tahun di tali air di Lorong Indera Sempurna 2 di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kegembiraan tujuh sahabat mandi-manda di tali air di Lorong Indera Sempurna 2 di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dibawa arus dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang tadi.

Mangsa, Mohamad Amirul Haikal Che Jaafar, 14, merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejauh lebih satu kilometer daripada kawasan mangsa dipercayai hilang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Setakat ini, daripada maklumat awal diperolehi ketika kejadian mangsa bersama enam lagi rakannya dari perumahan berdekatan datang ke tali air tersebut untuk mandi.

“Kejadian disedari oleh rakan-rakan mangsa yang lain apabila melihat mangsa terjatuh ke dalam tali air dan terus dibawa arus deras.

“Ketika itu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu dikatakan tidak memakai baju dan hanya sekadar memakai seluar pendek berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, hasil maklumat penduduk setempat menyatakan tali air yang mempunyai kedalaman enam meter itu baharu sahaja dibersihkan.

Jelasnya, operasi pencarian itu akan diperluaskan sehingga ke penghabisan tali air tersebut.

“Setakat ini belum ada tanda-tanda khusus untuk pihak penyelamat menemukan mangsa yang lemas ini, memandangkan pencarian juga terpaksa bergantung kepada keadaan cuaca dan masa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, Mohd. Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, seorang pegawai dan 10 anggota bersama tiga jentera daripada BBP Taman Tas digerakkan ke lokasi.

Katanya, pihaknya turut meminta bantuan lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kuantan.

“Unit PPDA hadir ke lokasi sekitar pukul 5 petang tadi membuat pencarian dipermukaan secara turut menyelam sejauh kira-kira 1.5 kilometer.

“Tumpuan mencari kini hanya difokuskan di kawasan permukaan dan dasar yang mana keadaan warna air yang gelap dan arus deras sedikit sebanyak menyukarkan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Sehingga kini, mangsa masih lagi belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat akan disambung pukul 8 pagi esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya