IPOH: Keluarga kepada Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie kesal dengan kejadian yang menimpa pelajar itu kerana mereka saling mengenali dengan isteri kepada pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) yang didakwa melanggar mati mangsa.
Nur Zawanie Muhd Zamrie, 28, kakak kepada mangsa berkata, isteri DSP itu seorang guru di sekolah mangsa sememangnya mengenali keluarganya dan Zaharif.
Malah, kata Nur Zawanie, isteri polis itu juga mengenali ayah dan ibunya kerana ada guru-guru di sekolah Zaharif adalah pelanggan di kedai makan ibu bapanya yang terletak tidak jauh dari sekolah adiknya itu.
Menurutnya, sebelum ini jika ada kes atau apa apa perkara, guru-guru di sekolah itu datang mengadu pada mereka.
“Kalau dia buat salah, kenapa tak datang jumpa? Bukannya isteri pelaku tak kenal adik dan keluarga saya. Isteri dia di sekolah itu kenal Zaharif adalah anak kepada emak ayah saya.
“Pelanggan yang makan di kedai kami itu pun kebanyakan cikgu di sekolah itu. Sebelum ini kalau ada kes apa apa, guru-guru datang mengadu pada kami.
“Kenapa kalau dia (Zaharif) betul buat salah kali ini, kenapa tak datang jumpa? Bukan buat macam ini. Dia (suspek) tiada hak nak buat macam itu.
“Andai kata adik saya bersalah, dia boleh buat laporan polis, bawa adik saya, tangkap adik saya pergi ke lokap. Mak ayah saya kehilangan anak. Adik saya itu memang umur 17 tahun tapi dia tak matang,” katanya ditemui pemberita di kediamannya di Taman Chepor Sentosa di sini hari ini.
Muhammad Zaharif Affendi, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini maut dilanggar kereta dipandu seorang pegawai polis dalam kejadian di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini semalam.
Difahamkan, sebelum nahas itu berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.- UTUSAN