IPOH: Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang dilanggar mati kereta dipandu pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini semalam mungkin mahu berkumpul dengan rakan-rakannya sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran selepas habis sekolah.
Abang kepada mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, berkata, memang menjadi kebiasaan adiknya itu pada setiap Jumaat akan berkumpul bersama rakan-rakannya selepas habis sekolah untuk menunaikan solat Jumaat dan akan masuk ke masjid apabila azan dilaungkan.
Menurutnya, adiknya dan rakan-rakannya akan pergi ke masjid berkumpulan dengan menaiki motosikal.
“Mungkin semalam nak dijadikan cerita adalah hari terakhir sekolah, mungkin mereka teruja nak cuti, jadi mereka raikan dengan cara mereka sendiri.
“Benda ini rutin setiap Jumaat, habis sekolah mereka akan turun (keluar) dari sekolah ikut pintu pagar belakang menuju ke masjid. Mereka akan kumpul depan masjid dan apabila bunyi azan baru mereka akan masuk ke dalam masjid.
“Itu memang rutin budak-budak di situ begitu. Naik motor sendiri dari sekolah turun ke masjid,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Chepor Sentosa di sini hari ini.
Turut serta ialah bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, dan ibu mangsa, Mimi Julia Ismail, 50, serta kakak mangsa, Nur Zawanie Muhd Zamrie.
BAIK
Menurut Zarul Fitri, adiknya itu seorang yang baik dan tidak pernah menolak permintaan kawan-kawannya yang memerlukan bantuan.
Katanya, arwah memang mempunyai minat mendalam dengan motosikal malah ada bengkel motor sendiri di rumah.
“Dia buat bengkel motor, tiap-tiap malam kawan dia datang, nak tukar tayar atau apa, semua datang kepada dia nak baiki motor.
“Dia ada kemahiran sendiri untuk membaiki motor. Dia ada cakap lepas SPM dia cakap nak belajar motor, nak jadi pelumba motor. Saya ada cakap janganlah buat benda yang ibu tak reda tapi saya tidak melarang dia buat macam itu.
“Motosikal yang dia naik (tunggang) semalam itu bukan motosikal dia, itu motosikal kawannya. Dia cuma naik motosikal kawannya, motosikal tersebut memang telah diubahsuai,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari semalam, Muhammad Zaharif Affendi maut dipercaya dilanggar pegawai polis yang menaiki sebuah kereta Perodua Ativa.
Difahamkan, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Pegawai kanan polis itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu direman tiga hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan dalam prosiding yang dijalankan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.- UTUSAN