Pekerja kedai makan jadi along didenda RM2,500 simbah cat merah - Utusan Malaysia

Pekerja kedai makan jadi along didenda RM2,500 simbah cat merah

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Dua orang pekerja kedai makan didenda RM2,500 di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada halaman rumah seorang individu pada awal bulan ini.

Kedua-dua tertuduh yang juga merupakan along, Yong Wai Kee, 36, dan Chan Wai Hong, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd. Ghani.

Mahkamah menetapkan hukuman denda terhadap tertuduh sebanyak RM2,500 setiap seorang, jika gagal bayar boleh dipenjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan, mereka telah melakukan khianat dengan cara menyimbah cat warna merah sehingga menyebabkan kerosakan pada halaman rumah seorang wanita berusia 56 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Paya Port Dickson lebih kurang pukul 11 pagi pada 8 Disember lalu.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal manakala tertuduh masing-masing berasal dari Raub, Pahang dan Kajang, Selangor tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata,  kedua-duanya telah ditahan oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di Pejabat Komersial IPD Ipoh, Perak lebih kurang pukul 3.40 petang, 17 Disember lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai sembilan dan lima rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN