Pegawai polis dipenjara 12 bulan, denda RM25,000 kerana minta rasuah - Utusan Malaysia

Pegawai polis dipenjara 12 bulan, denda RM25,000 kerana minta rasuah

SEORANG anggota polis (tengah) didapati bersalah meminta rasuah RM5,000 pada 2018 di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden dihukum penjara 12 bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini selepas didapati bersalah meminta rasuah bernilai RM5,000 sekitar lima tahun lalu.

Tertuduh, Hasbullah Ali Alias turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa meminta suapan RM5,000 daripada pengadu sebagai balasan kononnya wang tersebut akan diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya hukuman yang dikenakan ke atas seorang lelaki atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya tidak dirayu.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.37 tengah hari di sebuah restoran di Jalan Beserah di sini pada 7 Mei 2018.

Mahkamah dalam keputusannya mendapati tertuduh yang diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal memberikan penjelasan jujur untuk mematahkan anggapan atas imbangan kebarangkalian.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh digantung tugas sementara menunggu rayuan hukuman penjara manakala denda perlu dibayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya