Pegawai penjara dituduh pecah amanah wang banduan - Utusan Malaysia

Pegawai penjara dituduh pecah amanah wang banduan

HASRY Hisham Hassan (tiga dari kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas tuduhan pecah amanah wang milik banduan bernilai RM9,850 di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu di antara tarikh 30 Mac sehingga 1 Mei lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pegawai penjara berpangkat inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas tuduhan pecah amanah wang milik banduan bernilai RM9,850 di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu.

Tertuduh, Hasry Hisham Hassan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu inspektor penjara kepada Pusat Pemulihan Dadah Jelebu dan dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan kepada penguasaan ke atas harta tertentu iaitu wang tunai milik banduan yang dimasukkan ke dalam pusat berkenaan.

Tertuduh telah melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta tersebut berjumlah RM9,850 di antara tarikh 30 Mac sehingga 1 Mei lalu.

Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli.

Muhammad Qaiyyum kemudiannya mencadangkan wang jaminan sebanyak RM6,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, Adi Zulkarnain menyatakan anak guamannya mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak berusia lapan serta enam tahun dengan pendapatan bersih RM2,200 sebulan.

“Anak guam saya masih bertugas dan hadir sendiri. Jumlah minimum boleh dikenakan memandangkan beliau adalah penjawat awam,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan 10 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, pada 7 Julai lalu, seorang lelaki warganegara Indonesia yang merupakan banduan yang akan dibebaskan membuat laporan kepada pihak penjara iaitu dia tidak menerima semula wang tunai berjumlah RM9,850 yang dibawa semasa dimasukkan ke dalam pusat berkenaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN