Pasukan tindakan pantas diwujudkan di Parit Yaani hadapi bencana - Utusan Malaysia

Pasukan tindakan pantas diwujudkan di Parit Yaani hadapi bencana

MOHAMAD NAJIB SAMURI ditemui pada Program Gerak Mesra Zon 12, Majlis Perbandaran Batu Pahat di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT:  Sebuah pasukan terdiri daripada sukarelawan yang dikawal selia oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan ditubuhkan di Dewan Undangan Negeri Parit Yaani bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat bencana seperti banjir di kawasan tersebut.

Selepas penubuhannya nanti, pasukan itu akan ditempatkan di Pejabat Unit Pertahanan Awam (PUPA) yang beroperasi di Pejabat Penghulu Mukim Linau, menjadi satu-satunya dan pertama ditubuhkan di negeri ini, khasnya di Batu Pahat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata, pasukan yang secara dasarnya sudah dibentuk ketika membantu semasa banjir awal tahun ini kini akan segera ditubuhkan secara rasmi  selepas menjalankan kursus-kursus menyelamat anjuran APM. 

Selain menyelamatkan mangsa, pasukan tersebut juga akan memainkan peranan sebagai kumpulan menguruskan mangsa banjir ketika di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Pasukan ini perlu apatah lagi dengan kaedah memasak makanan di PPS sudah ditetapkan sekiranya berlaku banjir yang memerlukan pihak pengurusan untuk menyelaraskannya. 

“Dengan kaedah ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya memainkan peranan sebagai pembekal makanan kepada semua PPS berbanding dengan cara sebelum ini yang menggunakan khidmat katering,” katanya mengulas persiapan Pusat Khidmat DUN Parit Yaani menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara ketika ini. 

Menurutnya, langkah awal tindakan penyelesaian menghadapi banjir di Parit Yaani juga sudah dilaksanakan, iaitu dengan menyelenggara 75 daripada 112 kilometer tali air yang terdapat di kawasan tersebut.

“Selain itu, kerja-kerja mendalamkan Sungai Simpang Kanan dan Simpang Kiri akan dilaksanakan pada tahun depan bagi mempercepatkan aliran air di Parit Yaani dan sekitarnya ke laut,” katanya sambil mencadangkan pembinaan sebuah pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) sebagai pelengkap bagi penubuhan PUPA itu. 

“Di PPKB itu nanti, 500 hingga 1,000 mangsa boleh ditempatkan pada satu-satu masa dan tidak akan ditenggelami air kerana berada di tempat paling strategik dan tinggi,” katanya. 

“Ketika ini sebanyak 20 buah PPS sudah disiapkan untuk menempatkan mangsa sekiranya berlaku banjir dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya