Pasukan Malbatt 850 bakal terima 20 Panthera awal tahun depan - Utusan Malaysia

Pasukan Malbatt 850 bakal terima 20 Panthera awal tahun depan

MOHAMMAD Ab Rahman (hadapan) pada Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-10 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850 bakal memperoleh sebanyak 20 buah kenderaan perisai 4×4 Panthera bernilai RM190 juta dari Turki, awal tahun depan bagi meningkatkan kesiapsiagaan misi pengaman di Lubnan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, aset berkenaan adalah bagi menggantikan kenderaan-kenderaan jenis A termasuk RPZ Condor 4×4 yang telah usang dan berusia lebih 40 tahun.

Menurut beliau, aset berkenaan merupakan sebahagian perancangan untuk menggantikan aset-aset lama digunakan kontinjen Malbatt yang sedang melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).

“20 buah kenderaan itu kami jangka diterima awal Januari ini. Selain itu, terima kasih dan syukur Alhamdulilah saya ucapkan kepada kerajaan kerana telah meluluskan peruntukan perolehan sebanyak 50 buah high mobility light tactical vehicle untuk menggantikan kenderaan di Lubnan.

“Kami akan terima perolehan bernilai RM400 juta ini tahun hadapan, namun perolehan ini akan mengambil sedikit masa kerana ia dibuat mengikut keperluan kita, kita mahu senjata jenis apa, kita mahu elektronik dalam jenis apa, jadi ia mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-10 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini. 

Kontinjen Malbatt 850-10 dianggotai seramai 854 orang anggota dan pegawai diketuai Kolonel Mohd. Rizman Ramli.

Mereka memulakan misi UNIFIL di Lubnan pada 27 Oktober tahun lalu dan berakhir pada 14 November lepas dan telah ditempatkan di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin serta di bawah kawalan operasi Sektor Barat UNIFIL.

Dalam pada itu mengulas lanjut mengenai situasi penugasan serta prosedur operasi standard (SOP) Malbatt 850 ekoran konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, Mohammad berkata, perkara itu akan diperbaiki dari masa ke masa mengikut keperluan.

Menurutnya, bunyi letupan yang dipercayai bunyi bedilan dari mortar dan artileri berlaku di sempadan Lubnan Israel iaitu di kawasan tumpuan di Blue Line yang jaraknya 22 kilometer dari Kem Marakah dan 15 kilometer dari Kem Tibnin.

“Setakat ini, keadaan kontnijen Malbatt masih terkawal dan sentiasa meningkatkan kesiagaan operasi serta berwaspada kepada sebarang kemungkinan yang berlaku dan tertakluk kepada arahan UNIFIL,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya