Pasangan warga Indonesia dijel 35 tahun mengaku bersalah bunuh majikan - Utusan Malaysia

Pasangan warga Indonesia dijel 35 tahun mengaku bersalah bunuh majikan

BARTOLOMEUS FRANSCEDA dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan, manakala isterinya hanya dipenjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan membunuh majikannya pada Mac 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan membunuh majikan mereka, tiga tahun lalu.

Hakim Abu Bakar  Katar membuat keputusan itu selepas Bartolomeus Fransceda dan Ekalia, masing-masing berusia 23 tahun menukar pengakuan kepada bersalah pada 29 November lalu.

Tertuduh pertama, Bartolomeus yang juga bekerja sebagai tukang kebun turut diperintahkan disebat 12 kali, manakala Ekalia yang bertugas sebagai amah hanya diperintahkan menjalani hukuman penjara.

“Mahkamah ini telah menghalusi hujahan lisan dan bertulis mitigasi peringanan hukuman yang dikemukakan oleh peguam tertuduh yang terpelajar dan hujahan pemberatan hukuman oleh Timbalan Pendakwa Raya yang terpelajar serta menimbangkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

“Mahkamah ini turut mengambil kira kenyataan impak mangsa [VIS] dan fakta kes yang dibentangkan oleh pendakwaan serta prinsip-prinsip penghukuman, mahkamah ini menjatuhi hukuman ke atas tertuduh pertama (Bartolomeus) penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan sebatan rotan 12 kali. 

“Bagi tertuduh kedua (Ekalia) penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan tiada sebatan rotan,” katanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama membunuh Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, Kulai, kira-kira pukul 2 petang, 17 Mac 2020.

Mereka ditangkap empat hari kemudian di sebuah restoran di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pasangan tersebut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.

Pada 29 November lalu, pihak pendakwaan mengemukakan bukti rakaman televisyen kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian yang menunjukkan Bartolomeus dan Ekalia telah membunuh Yen Na dengan menggunakan cangkul kecil mempunyai dua mata tajam.

Tertuduh pertama dan kedua telah memukul menggunakan cangkul kecil itu pada bahagian kepala ketika mangsa sedang berehat, sebelum mereka mengambil Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur bagi bertemu rakan untuk mencari kerja baharu.

Kedua-dua tertuduh berjaya ditahan di sebuah restoran di Damansara, Petaling Jaya, Selangor sebelum hasil analisis patologi mendedahkan punca kematian mangsa adalah kerana luka tetakan berganda pada bahagian kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala pasangan itu diwakili peguam bela, Ooi Pen Lyn dan S. Selvi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN