SEREMBAN: Sepasang kembar seiras, Aida Farisah dan Aida Fasihah Ahyat, 24, teruja apabila terus saling mencapai kejayaan bersama apabila masing-masing menamatkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.
Kedua-dua graduan yang berusia 24 tahun dan berasal dari Pekan, Pahang itu menerima Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini.
Aida Farisah berkata, dia dan adiknya memang tidak pernah berenggang sebelum ini malah mereka juga menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi di universiti sama tahun lalu.
“Bagi saya dan adik, segala susah payah sepanjang pengajian berjaya kami tempuhi bersama dan semestinya kami sentiasa menyokong antara satu sama lain.
“Sepanjang menuntut di sini (USIM) kami tidak pernah berenggang, ambil jurusan pun sama, apabila ada tugasan berkumpulan pun kami bersama selain itu makanan kegemaran kami juga sama iaitu bihun tom yam,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, Aida Fasihah pula berkata, mereka ketika ini terpaksa untuk berpisah sementara disebabkan tuntutan kerja sebagai guru pelatih.
“Kami juga duduk berasingan semasa menjalani latihan praktikal di sekolah menengah selama lima bulan.
“Namun itu bukan masalah yang besar, ia tidak menjadikan halangan dan kami akan sedaya upaya menggembirakan hasrat ibu dan ayah yang mahu melihat kami berjaya dalam bidang pelajaran dan juga kerjaya,” katanya.
Aida Farisah kini sedang menjalani latihan praktikal sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri, Seremban manakala Aida Fasihah pula di SMK Sungai Long, Kajang, Selangor.-UTUSAN.