JERANTUT: Sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan di daerah ini terus rancak berikutan paras air Sungai Tembeling sudah menunjukkan kini tren menurun dan dilaporkan hujan masih turun renyai-renyai di daerah ini hari ini.
Menurut Info Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan mencatat 64.35 meter iaitu tren menurun pada pukul 8 pagi hari ini berbanding 66.06 meter di paras amaran semalam.
Seorang pemandu alam sekitar, Afzal Aziz berkata, hujan lebat di pedalaman Hulu Tembeling beberapa hari lalu menyebabkan kenaikan paras air Sungai Sepia dan Sungai Tembeling dan air melimpah masuk ke dataran perniagaan di Kampung Bantal kelmarin.
“Aliran air dan arus deras di kawasan ulu sungai sampai ke Kuala Tahan memakan tempoh lapan jam menyebabkan beberapa tempat di pesisir sungai Ulu Tembeling dilimpahi air,” katanya di Kuala Tahan di sini.
Cerita Afzal, berikutan arus sungai deras dan kenaikan paras air sejak kelmarin, restoran terapung yang terletak di Sungai Tembeling menjadi tumpuan pelancong menikmati sajian makanan tempatan sudah dialihkan ke tebing dan ditambat pada pokok berdekatan sungai bagi mengelakkan dihanyutkan air.
Penyelaras Nature Life Guard, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, kebiasaannya apabila paras air Sungai Tembeling naik di kawasan ulu sungai akibat hujan lebat beberapa hari turut memberi kesan banjir di kawasan hilir sungai.
“Perkara ini sudah menjadi lumrah bagi penduduk di sini ketika berdepan musim tengkujuh pada hujung tahun dan kami pun sudah berjaga-jaga di samping mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, sektor pelancongan di sini terus aktif kerana ramai pelawat domestik serta pelancong luar mengunjungi ke sini setiap hari lebih lagi sempena cuti sekolah dan perayaan Krismas,” katanya.
Ujarnya, anggota Nature Life Guard APAM Kuala Tahan bertugas memantau melancarkan perjalanan pengunjung ke sini di samping membantu agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan penghantaran bekalan makanan kepada penduduk terjejas di pesisir Sungai Tembeling termasuk Orang Asli etnik Bateq. – UTUSAN