Pantau pokok mati, reput elak tragedi ragut nyawa - Altimet - Utusan Malaysia

Pantau pokok mati, reput elak tragedi ragut nyawa – Altimet

Keadaan kereta yang dihempap pokok tumbang di Jalan Utama Kampung Lembah Jaya Utara, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA:  Pemantauan dan penyelenggaraan  akan dilakukan ke atas pokok-pokok mati dan reput di sekitar kawasan Jalan Bukit Belacan, Kampung Lembah Jaya Utara bagi mengelak tragedi meragut nyawa orang awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai aduan penduduk setempat mengenai keadaan pokok seumpama itu di kawasan berkenaan. 

“Apa yang berlaku ini adalah insiden yang tidak dijangka kerana ketika kejadian tidak hujan. 

“Ketika ini, kita banyak fokus pada banjir dan alhamdullilah banjir tak berlaku tetapi sebaliknya ini pula yang terjadi,” katanya di sini

Mengulas lanjut, kata beliau, pemantauan itu akan dilakukan dengan kerjasama penduduk setempat.

“Kami sudah kenal pasti beberapa pokok yang mati dan reput di kawasan ini supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Kita juga akan teliti faktor yang menyebabkan aduan dibuat penduduk setempat masih belum diambil tindakan,” jelasnya.

Kata beliau, kebiasannya aduan dibuat kepada ahli majlis atau disalurkan terus kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). 

TIDAK SAMPAI

“Jadi, kita dalam proses kenal pasti sama ada aduan itu tidak sampai kepada Ahli Majlis, MPAJ atau aduan itu tidak ditangani. 

“Kita akan siasat perkara ini termasuk melihat sama ada pokok di kawasan itu terletak dalam bidang kuasa MPAJ atau Jabatan Perhutanan Negeri,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, waris dua mangsa yang maut dalam kejadian itu layak menerima RM10,000 menerusi bayaran khairat kematian di bawah Skim Insan Selangor. 

“Kita dalam usaha untuk mempercepatkan penyaluran bantuan berkenaan. Selain itu, kita juga ada mengelola majlis tahlil bagi kedua-dua arwah. 

“Pada masa sama, kita juga akan berhubung dengan kerajaan negeri bagi melihat jika ada pampasan lain boleh diberikan termasuk daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan pemandu kereta dan penunggang motosikal maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Utama Kampung Lembah Jaya Utara, semalam. 

Dalam kejadian pukul 3.51 petang itu, pemandu kereta disahkan maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Ampang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya