Negeri Sembilan, Pahang teruskan perjanjian bekalan air bagi Felda Serting Hilir - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan, Pahang teruskan perjanjian bekalan air bagi Felda Serting Hilir

AMINUDDIN Harun dan Wan Rosdy bertukar dokumen pada Majlis MoU Bekalan Air Pukal di antara PAIP dan Sains di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan dan Pahang hari ini meneruskan perjanjian bagi pembekalan air terawat secara pukal di kawasan Felda Serting Hilir 1 hingga 7 di Jempol.

Memorandum persefahaman (MoU) tersebut telah ditandatangani di antara pihak Pengurusan Air Pahang Bhd. (PAIP) dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) di sini hari ini.

PAIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Datuk Saiful Zaini Mohd. Bokhari manakala Sains diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mohd. Yazid Ahmad.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Saiful Zaini, usahasama pembelian bekalan air berkenaan telah bermula sejak bulan Mei 1997, di antara kerajaan Negeri Sembilan dengan kerajaan Pahang dan kini diteruskan perjanjian secara komersial di antara dua buah syarikat air berkenaan.

“Perjanjian lama telah ditamatkan dan hari ini perjanjian baharu. Kini penggunaan di kawasan tersebut (Felda Serting Hilir 1 hingga 7) membabitkan 2.5 juta liter sehari.

“Lebih kurang RM76 juta sebulan dengan harga minimum 86 sen meter padu setelah kami bermesyuarat berbincang atas dasar perpaduan antara Pahang dan Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita pada Majlis MoU Bekalan Air Pukal di antara PAIP dan Sains, di sini hari ini.

Tempoh perjanjian berkenaan adalah untuk setahun dan dengan pilihan untuk diperbaharui setiap tiga tahun selepas itu.

Sementara itu, Mohd. Yazid berkata, pembelian air terawat dari Pahang melalui Loji Rawatan Air (LRA) Bera itu akan diagihkan kepada lebih kurang 1,600 akaun pengguna di kawasan Felda berkenaan di mana kedudukannya adalah di penghujung sistem retikulasi Sains dan juga bersempadan paling hampir dengan negeri Pahang.

Menurutnya, Sains telah menjalankan kajian dan penilaian kemampuan infrastruktur bekalan air di kawasan Felda Serting Hilir dan pembelian bekalan air pukal ini merupakan langkah terbaik buat masa ini.

“LRA terdekat dengan kawasan ini adalah LRA Jelai dengan kapasiti 114 juta liter sehari. LRA ini membekalkan air ke kawasan Kuala Pilah dan sekitarnya, memang ada lebihan. 

“Bagi perancangan masa panjang, Sains akan mengajukan perancangan jajaran paip ke kawasan Felda Serting Hilir sepanjang 25 hingga 30 kilometer,” katanya lagi

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, selain membeli air dengan kerajaan Pahang, Sains turut membeli air dengan kerajaan Selangor bagi kegunaan kira-kira 300 pemilik akaun air di sekitar Broga, Lenggeng.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya