KUALA PILAH: Negeri Sembilan melancarkan beras putih tempatan berkualiti dengan jenamanya sendiri, iaitu Seri Menanti hasil tuaian dari kawasan sawah di Terachi di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebagai permulaan hanya tiga tan sahaja dikeluarkan namun apa yang penting ia merupakan motivasi dan semangat untuk negeri ini mengeluarkan lebih banyak hasil padi pada masa akan datang.
“Ia simbolik yang cukup besar, pengeluaran beras ini sebagai lambang komitmen kerajaan negeri bagi memastikan hasil padi di Negeri Sembilan dapat dipertingkatkan, kita tahu, pengeluaran padi di negeri ini masih rendah.
“Ia masih tidak mampu untuk tampung permintaan serta untuk dikomersialkan tetapi kita mahu galakkan, ia diperkenalkan sebagai semangat dan dorongan selain supaya masyarakat Negeri Sembilan menghargai usaha-usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bola Ngoca 2023 di Stadium Bola Sepak Sawah, Perkampungan Budaya Terachi, Seri Menanti di sini hari ini.
Khas untuk keluaran pertama ini, beras Seri Menanti akan dijual sebanyak 2,500 peket pada dua hari penganjuran acara berkenaan ditawarkan pada harga RM2 bagi pek satu kilogram dan RM6 bagi tiga kilogram.
Aminuddin dalam pada itu berkata, memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi hasil pengeluaran padi termasuk menerusi mengaktifkan semula tanah-tanah terbiar.
“Kawasan yang boleh ditanam padi itu kita boleh mulakan semula, saya mahu masyarakat di Negeri Sembilan yang mana ada kawasan tanah terbiar itu boleh diusahakan dengan tanaman padi.
“Memang kerajaan negeri ada tambah kawasan tanaman padi seperti di Londah, Gemas, di Kuala Pilah, di Seri Menanti pun kita tambah, tapi jumlah tidaklah besar, kita mahu penghasilannya tinggi dan bilangannya ditambah saban tahun,” katanya.-UTUSAN.