SEREMBAN: Seramai 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR) di Negeri Sembilan berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar sekali gus menyaksikan negeri ini berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar menjelang berakhirnya tahun 2023.
Ia selepas Seremban menjadi daerah terbaharu berjaya mensifarkan miskin tegar semalam daripada seramai 922 orang KIR miskin tegar yang direkodkan pada awal tahun 2023 di daerah itu berdasarkan sistem pengkalan data keluarga miskin (eKasih).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun dijangka ada yang kembali sebagai miskin tegar dan golongan baharu yang tersenarai namun kerajaan negeri kini mempunyai sistem yang lebih teratur agar mereka dapat dibantu untuk keluar daripada kategori tersebut.
“Tahun depan, bukan tidak ada lagi miskin tegar, akan ada senarai baharu malah ada yang kembali sebagai miskin tegar walaupun kita telah sifarkan tahun ini namun kita sudah tahu bagaimana untuk sifarkan miskin tegar ini dengan lebih teratur dan berkesan pada masa akan datang.
“Kita mahu atur agar mereka benar-benar keluar dan mereka boleh peroleh pendapatan lebih baik pada tahun hadapan, ini antara yang kerajaan negeri akan berikan tumpuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Masjid Saidatina Aisyah, Bandar Seremban Selatan di sini hari ini.
Sementara itu, Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan, kejayaan menoktahkan miskin tegar di negeri ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang telah digerakkan.
Ia antaranya menjadikan kemiskinan sebagai agenda utama wajib dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, penubuhan Task Force Pembasmian Miskin Tegar, mengaktifkan fungsi Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan melancarkan kaunter bergerak eKasih bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).-UTUSAN.