SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2024 yang merupakan belanjawan defisit sebanyak RM35 juta.
Belanjawan bertemakan Bersama Membina Negeri Madani itu merupakan belanjawan pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan hasil gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada bulan Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM555 juta berbanding anggaran hasil berjumlah RM520 juta.
Sebanyak RM140 juta pula diperuntukan bagi perbelanjaan pembangunan.
“Belanjawan Tahun 2024 ini telah disedia dan disesuaikan dengan Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang ditawarkan semasa Pilihan Raya Negeri yang lalu.
“Terdapat lima kad dan 10 Teras yang telah dibentangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini demi kesejahteraan rakyat.
Daripada RM555 juta belanjawan yang saya bentangkan, sejumlah RM231.48 juta atau 41.71 peratus telah diperuntukkan khusus untuk melaksanakan pelbagai program dan projek di bawah sembilan Teras Aspirasi dan Skim Sejahtera Rakyat seperti berikut,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, pada tahun 2024, daripada anggaran hasil yang dijangka diperoleh, kutipan hasil cukai adalah sebanyak 160.01 juta atau 30.77 peratus.
“Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang mempunyai kadar cukai tanah yang terendah di negara ini. Kadar cukai tanah tidak pernah dibuat semakan sejak tahun 2006 iaitu hampir 17 tahun dengan menggunakan jadual NSPU7.
“Sebagai contoh, masih terdapat cukai yang bernilai tiga ringgit setahun dan permit bernilai dua ringgit setahun sejak puluhan tahun lamanya. Untuk itu, satu kajian yang menyeluruh dan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh akan dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” katanya.
Menurut beliau, hasil bukan cukai akan terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran sebanyak RM300.24 juta atau 57.74 peratus iaitu meningkat sebanyak RM72.28 juta berbanding RM227.96 juta pada tahun 2023.
“Kenaikan utama adalah daripada Caj Air Mentah Komersial yang dianggarkan meningkat RM40.5 juta apabila kerajaan negeri telah meluluskan kadar baru caj air laut dari satu sen kepada tiga sen per meter padu air.
“Selain itu, kenaikan kutipan caj pelbagai urusan di kaunter Pejabat Tanah juga dijangka meningkat sebanyak RM17.78 juta.
“Bagaimanapun, Terimaan Bukan Hasil dijangka mengalami sedikit penurunan sebanyak RM2.45 juta iaitu dari RM62.20 juta pada tahun 2023 kepada RM59.75 juta pada tahun 2024 antaranya disebabkan oleh penurunan anggaran terimaan Cukai Pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pada pembentangan berkenaan, Menteri Besar turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada seramai 6,662 orang penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.
“Bantuan khas ini akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada hujung Februari 2024 sebagai persediaan persekolahan dan hujung Mac 2024 menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Adalah diharapkan bantuan khas kewangan ini akan menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi,” katanya.-UTUSAN.