KOTA BHARU: Negeri Sembilan FC meraih kemenangan mudah apabila membenam Kelantan United 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Sebelum itu, aksi perlawanan kedua-dua terpaksa dimulakan agak lewat pada pukul 10.45 malam akibat hujan lebat.
Beraksi diatas permukaan padang becak tidak memberikan masalah buat pelawat apabila meledakan jaringan pertama menerusi sepakan jarak dekat Herold Goulon pada minit ke-15.
Negeri Sembilan terus menambah jaringan kedua mereka pada minit ke-25 menerusi Hasbullah Abu Bakar selepas gerakan solonya gagal dirantai oleh barisan pertahanan tuan rumah sebelum tenang menyempurnakan peluang sekali gus menewaskan Muhammad Ilham Amirullah selaku penjaga gawang Kelantan United.
Skuad kenjadian K.Devan terus bernafsu selepas itu apabila R. Barathkumar meledakan gol ketiga pada minit ke-42 untuk menutup babak pertama dengan bekalan selesa buat Negeri Sembilan.
Bersambung babak kedua skuad kendalian Nazrulerwan Makmor cuba bangkit untuk mengimbangi perlawanan namun gagal, sebaliknya pelawat terus bernafsu untuk menambah jaringan.
Barathkumar terus menabah derita Kelantan United apabila meledakan gol keempat pada minit ke-65 sekali gus menambah koleksi jaringan peribadinya.
Kelantan United terus dirundung malang selepas itu, apabila pemain gantian Ariff Ar-Rasyid Ariffin dilayangkan kad merah pada minit ke-76 selepas bertindak menarik baju A. Selvan untuk menafikan peluang pemain itu menjaringkan gol.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, tuan rumah tidak mudah berputus asa sebaliknya cuba bangkit namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah dan kedudukan kekal 0-4 sehingga tiupan panjang wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan berada di kedudukan kesembilan Liga Super dengan mengumpul 27 mata, sementara Kelantan United kekal di tangga ke-12-UTUSAN