Naik taraf kemudahan komando di Melaka, Johor

Naik taraf kemudahan komando di Melaka, Johor

PENINGKATAN prasarana itu dapat membantu mengekalkan serta menambah baik kesiapsiagaan anggota GGK. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menaik taraf dua kemudahan latihan khusus di Kem Sungai Udang di sini dan Kem Iskandar, Johor untuk kegunaan Grup Gerak Khas (GGK) atau komando.

Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah berkata, projek menaik taraf itu dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Kata beliau, peningkatan prasarana itu dapat membantu mengekalkan serta menambah baik kesiapsiagaan anggota GGK.

“Selain daripada mengadakan latihan bersama pasukan keselamatan lain seperti Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Pasukan 69 Komando (VAT 69), penyediaan kemudahan yang lebih baik ini dapat meningkatkan kompetensi setiap anggota komando.

“Naik taraf ini melibatkan fasiliti sedia ada. Kita juga mempunyai perancangan untuk mewujudkan kemudahan latihan baharu bagi tujuan khusus untuk anggota komando di Johor dan Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-58 di sini, hari ini.

ADI RIDZWAN Abdullah bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-58 di Kem Sungai Udang, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Sementara itu, mengenai prestasi semasa anggota GGK, Adi Ridzwan berkata, pihaknya telah terlibat dalam pelbagai operasi latihan termasuk melaksanakan eksesais bersama tentera asing bagi memantapkan kompetensi anggota.

Menurutnya, sebelum ini banyak latihan dan aktiviti tergendala susulan penularan Covid-19.

“Sekarang ini prestasi kita semakin meningkat. Dulu kita agak ketinggalan disebabkan pandemik jadi banyak latihan dan aktiviti yang sepatutnya Gerak Khas laksanakan tidak dapat dijalankan.

“Hasilnya, kita telah merangkul banyak kejayaan dalam pelbagai aktiviti yang disertai seperti ujian pertandingan menembak serta pertandingan menembak Tentera Darat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya