SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC menamatkan kempen Liga Super 2023 dengan keputusan kekalahan 4-1 kepada pasukan Kuching City FC.
Beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, pasukan tuan rumah yang dikendalikan ketua jurulatih, K. Devan terlebih dahulu mendapatkan gol iaitu seawal minit keempat Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi.
Bekas penyerang kebangsaan itu mudah menyempurnakan hantaran Hein Htet Aung sekali gus menewaskan Wan Muhammad Azraie Wan Teh di gawang Kuching City.
Sebaik sahaja gol tersebut, perlawanan sebaliknya banyak dikuasai oleh pelawat dan hasil asakan berterusan, mereka berjaya mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-43.
Ia hasil rembatan cantik luar kotak penalti oleh Bruno De Araujo Dybal yang menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman di gawang tuan rumah. Sehingga tamat separuh masa, kedudukan terikat 1-1.
Memasuki separuh masa kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk mendahului, ia menerusi gol tandukan Yuki Tanigawa yang menyudahkan sepakan sudut diambil oleh Bruno Dybal pada minit ke-46.
Sikh Izhan Nazrel tewas untuk kali ketiga dan kali ini menerusi tandukan Pedro Henrique Cortes Oliveira Gois pada minit ke-54.
Pelawat terus menambah duka Negeri Sembilan dan pada minit ke-71 mereka memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti yang kemudiannya disempurnakan oleh Bruno Dybal untuk gol keempat.
Sehingga tamat perlawanan, keputusan terus kekal memihak pelawat dengan keputusan kemenangan 4-1.
Selepas mengharungi 26 perlawanan secara keseluruhan, Negeri Sembilan kekal di tangga kesembilan dengan meraih 27 mata hasil enam kemenangan dan sembilan keputusan seri manakala Kuching City pula berada di kedudukan kedua terbawah liga dengan hanya mengutip 12 mata hasil dua kemenangan dan enam kali seri.-UTUSAN.