Muip agih zakat RM31.8 juta bagi sektor pendidikan - Utusan Malaysia

Muip agih zakat RM31.8 juta bagi sektor pendidikan

AHMAD HAIRI Hussain (tiga, kanan) bersama antara penerima agihan zakat bagi sektor pendidikan di Majlis Agihan Zakat kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang 2023 di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengagihkan zakat berjumlah RM31.8 juta kepada sektor pendidikan membabitkan beberapa skim bantuan, sehingga November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, jumlah tersebut termasuk RM4.7 juta yang diagihkan pada hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM18 juta diberikan di bawah skim bantuan dermasiswa yang sudah diagihkan kepada kira-kira 16, 538 penerima.

“Sebanyak RM9.2 juta pula di bawah skim bantuan awal ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang diagihkan kepada kira-kira 9, 940 penerima.

“Sementara, RM2.6 juta di bawah sumbangan baikpulih, selenggara dan naik taraf bangunan kelas dan peralatan di sekolah agama rakyat negeri Pahang, manakala RM1.3 juta lagi bagi selenggara dan naik taraf surau-surau sekolah serta program keagamaan di semua peringkat sekolah.

“Bagi skim sumbangan am kepada maahad tahfiz dan pondok pula adalah sebanyak RM743,000 sudah diberikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Agihan Zakat kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Hairi berkata, pengagihan zakat hari ini membabitkan 43 buah institusi.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, ia membabitkan 16 buah sekolah rendah dan menengah di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

“Tidak ketinggalan, pengagihan turut merangkumi 16 buah sekolah agama rakyat (SAR Kafa), tiga IPT, tiga buah maahad tahfiz/madrasah dan satu persatuan guru,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, secara keseluruhan sehingga pertengahan Disember ini, RM200 juta sudah diagihkan kepada 52 jenis Skim Agihan Bantuan Zakat kepada golongan asnaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya