Mesej taktik penipuan ‘Sim Swap’ bukan dikeluarkan polis - Utusan Malaysia

Mesej taktik penipuan ‘Sim Swap’ bukan dikeluarkan polis

Polis menafikan mesej taktik penipuan baharu ‘Sim Swap’. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menafikan menghantar mesej kepada orang ramai mengenai modus operandi penipuan ‘Sim Swap’.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan mesej itu yang tular di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Menurut mesej itu, mangsa akan menerima panggilan yang kemudian meminta mangsa menekan butang 1.

Apabila ditekan, telefon bimbit milik mangsa akan digodam dan diambil alih oleh penjenayah seterusnya akan memindahkan semua wang daripada akaun mangsa ke akaun lain.

“Maklumat itu adalah palsu dan JSJK tidak pernah membuat sebaran mesej sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Ramli, tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi terbabit setakat ini.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menekan mana-mana pautan yang meragukan, selain tidak menuruti sebarang arahan diterima daripada individu tidak dikenali.

“Sebarang nasihat atau pesanan awam yang dikeluarkan JSJK akan dibuat melalui saluran media cetak dan elektronik rasmi.

“Hebahan juga dibuat secara atas talian melalui portal rasmi PDRM dan JSJK,” katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya penyebaran informasi itu dihentikan bagi mengelak timbul kegusaran dalam  kalangan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi penipuan baharu, boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN