KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 19,716 berbanding 20,640 orang setakat pukul 4 petang semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 8 pagi ini jumlah mangsa berkurang sebanyak 924 orang.
Menurutnya, kesemua mangsa dari 6,496 keluarga dari empat jajahan yang terjejas iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kuala Krai sedang berlindung di 52 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Pasir Mas kekal sebagai lokasi yang teruk terjejas apabila menempatkan 15,586 orang, diikuti Tumpat (3,231), Kuala Krai (734) dan Tanah Merah (165),” katanya.
Menurut kenyataan itu, setakat ini, paras Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Pergau (Kampung Lawar, Jeli) masih melepasi paras bahaya.
Tambahnya, paras air di Tangga Krai (Kuala Krai) dan Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat) melepasi bacaan amaran.
“Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah, Tambatan Diraja dan Sungai Golok (Jenob,Tanah Merah) pada tahap berjaga-jaga.
“Lain-lain sungai utama Kelantan berada pada paras normal,” katanya.-UTUSAN