Majlis Peguam cabar perintah DNAA Zahid Hamidi - Utusan Malaysia

Majlis Peguam cabar perintah DNAA Zahid Hamidi

Ahmad Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara yang memohon agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan, September lalu.

Menurut Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn, sesalinan permohonan semakan itu, kenyataan dan afidavit sokongan yang tidak dimeterai telah diserahkan ke Jabatan Peguam Negara hari ini.

Pada 4 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan)  melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Pada ketika itu, Peguam Negara melalui Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menyatakan siasatan lanjut perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berdasarkan representasi yang dihantar Ahmad Zahid pada Disember 2022 iaitu tiga tahun selepas kes bermula.

Dalam kenyataan media petang ini, Karen menyatakan tindakan memfailkan semakan kehakiman itu dibuat selepas mengambil kira fakta dan keadaan kes Ahmad Zahid dan dibuat tanpa dipengaruhi rasa takut atau berat sebelah.

“Pada pandangan bersama Majlis Peguam, budi bicara Peguam Negara berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak serta terhad dalam skop dan had, perlu dilaksanakan dalam cara yang boleh diadili sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah mengikut bidang kuasa sedia ada berlandaskan undang-undang,”kata Karen.

Kata beliau, kes Ahmad Zahid mempunyai kepentingan awam dan negara kerana ia melibatkan dakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap seseorang individu yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan pada waktu beliau didakwa di mahkamah.

Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan, Majlis Peguam antara lainnya memohon satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Peguam Negara yang dibuat pada 4 September lalu yang memohon Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan.

KEPUTUSAN

Majlis Peguam turut memohon deklarasi bahawa keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara pada 4 September lalu adalah terbatal dan tidak sah atau dibuat melangkaui kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Tatacara Prosedur Jenayah.

Selain itu, semakan kehakiman itu turut memohon relif bahawa keputusan yang dibuat Peguam Negara September lalu dibuat secara tidak munasabah dan tidak rasional.

Majlis Peguam turut memohon satu perintah mandamus (mendesak) Peguam Negara untuk memberikan segala maklumat, dokumen, alasan, sebab dan perincian mengenai status siasatan lanjut yang dijalankan berkenaan kes Ahmad Zahid yang menyebabkan Peguam Negara memutuskan untuk memohon Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilepaskan tanpa dibebaskan.

Ia juga termasuk segala maklumat, dokumen, alasan, sebab dan perincian oleh Peguam Negara untuk mendakwa semula, menyambung perbicaraan atau menghentikan sebarang siasatan terhadap Ahmad Zahid.

Majlis Peguam turut memohon diberikan akses kepada semua dokumen yang difailkan di mahkamah termasuk rakaman mahkamah, perintah dan penghakiman.

“Majlis Peguam menegaskan kepentingan proses semakan kehakiman yang digubal khas untuk mencabar keputusan, perbuatan atau tindakan tidak memasukkan sesuatu perkara oleh badan awam dalam melakukan imbang dan semak Badan Eksekutif dan Perundangan, apabila diperlukan.

Lebih-lebih lagi apabila struktur asas Perlembagaan Persekutuan memerlukan interpretasi yang sewajarnya bagi menjaga kepentingan demokrasi,” kata Karen.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN