MELAKA: Syarat sedia ada ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi penempatan guru tingkatan enam iaitu bergred 44 dan daripada aliran perdana menyebabkan kesukaran kepada sekolah-sekolah terlibat menambah tenaga pengajar.
Presiden Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Juhari Md. Noor berkata, syarat itu perlu dilonggarkan dengan membuka peluang kepada guru-guru Gred 41 diangkat mengisi kekosongan berkenaan.
Jelasnya, cadangan itu juga dilihat efektif untuk menangani isu kekurangan guru tingkatan enam di negara ini.
“Kebanyakan sekolah yang menawarkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berhadapan dengan kesukaran mencari guru apabila terdapat kekosongan. Ini kerana syarat sedia ada mensyaratkan mereka perlu terdiri daripada guru bergred 44 dan daripada aliran perdana.
“Kita telah membuat gesaan ini sebelum ini. Kongres juga menggesa isu kenaikan gaji guru segera dilaksanakan mengambil kira beban tugas sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kongres Kali Ke-21 di sebuah hotel di Kampung Jawa di sini.
Persidangan telah dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.
Sebelum ini, KPM memaklumkan, pihaknya telah mengenal pasti enam subjek teras yang memerlukan tambahan bilangan guru di sekolah setakat 28 Februari lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, mata pelajaran berkenaan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni Visual serta Sejarah. – UTUSAN