MACHANG: Seorang pemandu lori kuari maut dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja pemasangan bumbung untuk sarang burung layang-layang di tingkat dua rumahnya di Kampung Tok Kaya, Labok, di sini petang tadi.
Mangsa, Johari Tahar, 54, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.05 malam tadi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Machang yang tiba di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mangsa memasang bumbung untuk sarang burung layang-layang dengan dibantu isterinya.
Menurutnya, mangsa dikatakan sedang memegang kerangka besi bumbung sebelum terkena renjatan elektrik.
“Mangsa tidak sedarkan diri dan dilihat tergantung pada bahagian bumbung rumah tersebut oleh isterinya.
“Isteri mangsa yang terkejut dengan kejadian itu terus menjerit meminta bantuan anak saudara yang juga merupakan jirannya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Adli memberitahu, mangsa berjaya dibawa turun oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7 malam.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Muhamad Saifullah Zulkifli, 36, berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan semasa sedang melakukan kerja di atas bumbung dengan menggunakan mesin pencanai.
Katanya, bapa saudaranya itu dikatakan tergelincir sebelum rebah semasa sedang membuat bumbung untuk sarang burung.
“Saya terkejut selepas terdengar isterinya yang juga ibu saudara saya menjerit meminta tolong sebelum bergegas ke lokasi kejadian,” ujarnya.-UTUSAN