GUA MUSANG: Lebih 300 pengguna Jalan Gua Musang-Lojing di Pos Blau di sini, terkandas lebih enam jam selepas laluan berkenaan dilimpahi air sungai susulan hujan lebat sejak malam tadi.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, melibatkan pengguna yang mahu ke Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh Perak.
Seorang pengguna jalan, Chia Yon Chan, 30, berkata, dia bersama tiga lagi ahli keluarga yang lain dalam perjalanan menuju ke Tanah Tinggi Cameron Highland, Pahang untuk bercuti.
Menurutnya, setiba dilokasi pada pukul 10.15 pagi, air sudah melimpah sekali gus membuatkan dia terkejut selain melibat banyak kenderaan ‘tersadai’ di tepi jalan.
“Melihat kepada situasi itu, kami sekeluarga sepakat untuk berpatah balik kerana air tiada tanda-tanda surut kerana hujan masih lagi turun,” katanya ketika ditemui di Pos Blau, di sini hari ini.
Seorang penunggang motosikal, Hazwan Mat Hazmi, 36, memberitahu, sudah lebih enam jam dia bersama 10 lagi rakannya ‘tersadai’ di laluan tersebut sementara menunggu air surut.
“Jalan ini sudah biasa kami lalui dan kerap dinaiki air apabila hujan lebat sepanjang hari.
“Kami tidak tahu berapa lama perlu menunggu kerana hujan masih lebat di kawasan Tanah Tinggi Lojing,” ujarnya.
Seorang penduduk Pos Blau, Aminah Zakaria, 45, berkata, air Sungai Brooke akan melimpah sekiranya hujan lebat sehingga menyebabkan air melimpah ke atas jalan.
Katanya, ini merupakan kali kelima jalan tersebut dinaiki air kerana hujan lebat.
“Pihak berwajib sebelum ini telah mengambil tindakan menggali dan membesarkan Sungai Brooke. Langkah itu dilihat tidak berkesan apabila jalan masih lagi dilimpahi air sungai.
“Penduduk Orang Asli juga terputus bekalan makanan kerana kebanyakan kedai terletak di arah laluan ke Gua Musang,” katanya.-UTUSAN