Larian Monsoon Run Kinabalu Hill Felda Melor Jengka 12 lonjak pelancongan sukan ekstrem santai di Jengka - Utusan Malaysia

Larian Monsoon Run Kinabalu Hill Felda Melor Jengka 12 lonjak pelancongan sukan ekstrem santai di Jengka

SEBAHAGIAN peserta larian Larian Monsoon Run Kinabalu Hill Jengka 12 di Felda Jengka 12 di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kejohanan Monsoon Run Kinabalu Hill di Felda Melor Jengka 12 di sini kelmarin berjaya mengetengahkan potensi sektor pelancongan sukan ekstrem di Felda Wilayah Jengka.

Pengarah program yang juga Pengerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan AD21 Jengka, Sharul Efendi Ismail berkata, program itu melonjakkan Bukit Kinabalu Jengka 12 sebagai destinasi pelancongan sukan popular di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya teruja kerana
lebih 3,000 peminat sukan khususnya warga Felda Jengka 12 menyaksikan kejohanan julung kali tersebut yang mendapat sambutan luar biasa.

“Felda Jengka 12 menjadi tumpuan lebih 400 peserta pelbagai kategori dari seluruh negara bagi menyertai larian sempena musim Monsun Timur Laut (MTL) tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut kejohanan terbabit Sharul Efendi berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu, trail run 12 kilometer lelaki dan wanita merentas Bukit Kinabalu; larian ria lima kilometer lelaki dan wanita rentas desa dan larian ria lima kilometer merentas desa kategori orang kurang upaya (OKU) dan pendidikan khas.

Katanya, pihak penganjur berbangga kerana lebih 50 peserta OKU menyertai acara larian lima kilometer kejohanan itu.

Menurutnya, ekoran kejayaan penganjuran program itu, Larian Monsoon Run Kinabalu Hill Jengka 12 menjadi indikator kepada aktiviti lain seperti Larian Gunung Senyum, Larian Gua Kota Gelanggi, Larian Felda Seroja dan lain-lain yang menjadi pemangkin kemajuan ekonomi dan kesihatan.

Setiausaha penganjur program, Nor Khalilah Gusti Hassan berharap acara sebegini memberikan impak positif kepada sektor pelancongan di daerah ini sekali gus meningkatkan pembangunan ekonomi penduduk di sini.

“Kehadiran peserta dari pelbagai negeri dan daerah seluruh negara yang bermalam dan berbelanja di sini dapat meningkatkan permintaan sewa hotel, inap desa dan sebagainya,” tambahnya.

Menurutnya, program larian ini akan dianjurkan secara acara tahunan dengan jumlah peserta yang lebih ramai pada penganjuran akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya